Sukan Permotoran Dekat Dihati
|
|
Pelumba rali Melayu itu tidak begitu menonjol ekoran keputusan untuk 'bersara' dari sukan permotoran lasak itu selepas tahun 1991. Ini kerana beliau mahu meluangkan lebih banyak masa untuk karier sebagai orang penting dalam Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan keluarga tersayang.
Sebagai Pengarah Urusan Shell Malaysia, tentunya banyak masa terpaksa dihabiskan untuk menguruskan lebih 900 stesen minyak Shell di seluruh negara dalam persaingan sengit antara para peruncit bahan bakar kenderaan di negara ini.
Selain itu, sebagai orang kuat bagi pasaran tempatan syarikat minyak yang beribu pejabat di Texas, Amerika Syarikat itu, beliau perlu mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan banyak pihak swasta dan kerajaan di dalam dan luar negara.
Rutin tersebut sejajar dengan tanggungjawab besar yang dipikul untuk memastikan perniagaan Shell di negara ini terus berkembang menerusi aktiviti promosi dan pengenalan produk-produk baru serta sistem pembayaran yang lebih mudah.
Bagi keluarga pula, tentunya menjadi saat-saat paling berharga kepada mana-mana suami dan bapa untuk mengisi masa berkualiti dengan isteri sambil melihat anak-anak membesar dengan didikan yang betul.
Beliau yang dimaksudkan ialah Datuk Mohzani Wahab, bos Shell Malaysia yang begitu teruja tatkala bercerita mengenai sukan bermotor lasak itu walaupun telah kira-kira 17 tahun lamanya tidak bergiat aktif dalam sukan itu.
Percaya bahawa sukan permotoran adalah darah dagingnya sejak mula memiliki lesen memandu, Mohzani mula menyertai lumba rali pada tahun 1986 secara persendirian dan meraih tempat ketiga Kejohanan Rali Malaysia pada tahun pertama penyertaannya itu.
Sejak itu, Mohzani terus menjalani proses pembelajaran mengenai pelbagai aspek mengenai kenderaan terutama pengendalian pemanduan, kaedah serta panduan keselamatan, penjagaan kereta dan bahagian teknikal.
Dikenali sebagai pemandu rali yang ada gaya dan gred tersendiri menyertai setiap Kejohanan Rali Malaysia dan berjaya merangkul beberapa gelaran juara termasuk ketika menewaskan Karamjit Singh pada tahun kedua penyertaan sukan tersebut.
Tidak lama selepas itu, walaupun namanya berada di kemuncak sukan ralli tempatan, pada tahun 1991, Mohzani memutuskan untuk 'bersara' dari sukan berkenaan.
'Persaraan' itu terpaksa dilakukan setelah menyedari keperluan untuk menumpukan lebih perhatian kepada kariernya yang kian menyinar serta membelai isteri serta mendidik anak-anak.
Namun, api semangat serta minat Mohzani yang turut menjadi Ahli Panel Pelaburan Tabung Haji dalam sukan motor lasak itu tidak pernah lenyap atau padam begitu sahaja sejajar dengan kepercayaan sukan itu menjalar dalam darah dagingnya sejak kecil lagi.
Walau sibuk mana sekalipun urusan dalam mengendalikan perniagaan serta riadah bersama keluarga, Mohzani tidak pernah melupakan sukan permotoran itu dan selalu mengintai peluang dan masa untuk melakukannya.
"Tambahan pula karier saya bersama Shell terus memberi ruang dan peluang untuk membakar semangat untuk terus berlumba,
"Semasa melawat kilang Formula Satu (F1) Ferrari tidak lama dahulu, saya berpeluang menyertai kursus teknik pemanduan oleh bekas pemandu F1 terkemuka, Ivan Cappeli,
"Saya juga menyertai Cabaran Modena 360 dan menerima sijil penyertaan dari orang kuat pasukan Ferrari FI, Jean Todt sendiri," kata beliau dalam nada girang.
Shell sebagai peneraju pasaran runcit stesen minyak di negara ini juga kerap mempromosi sukan permotoran terutama F1 dengan mengadakan banyak aktiviti berkaitan sukan perlumbaan berprestij itu.
Shell dengan Michael Schumacher sebagai duta permotorannya turut menjalankan kempen penjimatan minyak menerusi cara pemanduan yang baik selain menjual model kereta permainan pada harga yang rendah bagi menanam minat kanak-kanak mengenai sukan itu.
Hari ini, Mohzani sentiasa tertunggu-tunggu saat untuk memandu kereta laju di mana-mana untuk tujuan keseronokan kerana minatnya itu sentiasa membara walaupun tidak aktif lagi seperti zaman muda dahulu.
Justeru, kata Mohzani lagi, jika ada sesiapa yang sudi meminjamkan 'mesin permainan orang besar' itu kepada beliau untuk berlumba, beliau akan menyahut cabaran tersebut dengan tangan yang terbuka luas.
Bekas saingan Mohzani sekitar tahun 80-an, Karamjit Singh adalah legenda sukan permotoran rali di negara ini kerana mencapai banyak kejayaan dalam kejohanan-kejohanan di peringkat serantau dan tempatan yang disertai beliau.
Terbaru, Karamjit Singh dimahkotakan selaku juara Rali Malaysia (FAMRC) FELDA-AAM selepas memenangi pusingan keempat di Felda Lepar Hilir One.
'Mr. Flying Sikh' itu dan pemandu kedua, Jagdev Singh memandu kereta Mitsubishi Evo 8 dan berjaya menamatkan perlumbaan dengan kepantasan 2:11:02s.
Sukan permotoran terus berkembang maju di negara ini terutama jumlah penonton yang menyaksikan perlumbaan F1, pembelian lebih banyak kenderaan, populariti pemanduan drift profesional dan tidak lupa juga aktiviti merempit di kalangan anak-anak muda.
Tidak seperti tahun sebelumnya, jumlah penonton yang menyaksikan F1 kali ini telah meningkat sekitar 10 peratus kepada 126,000 berbanding 115,000 tahun lalu.
Statistik ini secara jelas menunjukkan sukan permotoran terutama F1 semakin mendapat sambutan rakyat jelata negara ini dan juga peminat sukan bermotor luar negara.
Kalau dahulu nama Malaysia kurang dikenali oleh orang luar negara, kini ia mudah dikenali dan salah satu sebab kerana kita berjaya mengadakan perlumbaan F1.
Selain F1, sukan permotoran berasaskan kereta yang semakin popular ialah pemanduan drift yang kian berkembang yang melambangkan kemahiran dan kecekapan pemandu mengawal kenderaan.
Pemanduan drift profesional dipelopori oleh tiga jaguh, Tengku Djan Ley Tengku Mahalel, Tan Tat Wai dan Ivan Lau yang kerap mengadakan pertunjukan di seluruh negara dalam mempromosi sukan permotoran terbaru itu.
Di samping itu, limpahan kelebihan dari perkembangan sukan permotoran negara telah mempopularkan Litar Antarabangsa Sepang di mata dunia dan membangunkan kawasan itu yang dahulunya hutan dan semak-samun semata-mata.
Kemasyhuran Litar Antarabangsa Sepang itu sangat ketara sehingga membuahkan idea kepada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk mencadangkan pembangunan Litar F1 ala Monaco di kawasan pembangunan Danga Bay, Johor Bahru.
Selain itu, peningkatan minat warga tempatan terhadap sukan permotoran dengan sokongan infrastruktur Litar Antarabangsa Sepang turut membuatkan beberapa pihak melontarkan idea untuk menganjurkan perlumbaan F1 pada waktu malam, selaras dengan keadaan iklim negara dan waktu bekerja rakyat negara ini.
Sejajar dengan perkembangan itu, pengarah-pengarah filem tempatan juga semakin berminat untuk menerbitkan filem-filem berteraskan perlumbaan kereta antaranya Impak Maksima dan KL Drift.
Diharapkan industri automotif negara dapat membantu perkembangan ini dengan menawarkan lebih banyak kenderaan berkuasa tinggi pada harga yang mampu dimiliki sejajar kerjasama yang telah dijalinkan dengan beberapa firma luar terkemuka seperti Group Lotus Ltd, pembuat kereta sports dari Eropah.
0 comments:
Post a Comment