Technologist
Di Laman Ini Laman Lain

Gabungan Seni Memandu.

Gabungan Seni Memandu

Dengan kos yang lebih murah, Grass Racing Autocross adalah alternatif kepada sukan permotoran yang lebih mahal.




SUKAN pemotoran sering dikaitkan dengan kos perbelanjaan yang tinggi, kemahiran serta persediaan yang rumit. Perlumbaan yang biasanya anda saksikan di kaca televisyen adalah contoh beberapa segmentasi dijalankan seperti drift (gelungsur), drag (catatan masa terpantas untuk laluan lurus 400 meter) dan juga siri perlumbaan mengelilingi litar yang terbahagi kepada beberapa kategori mengikut segmen dan kapasiti kenderaan.

Memang diakui, kadangkala kita tertarik untuk menyertai perlumbaan sebegini kerana adrenalin dalam sukan motor sukar digambarkan dengan kata-kata.

Acara peringkat bawahan seperti go-kart juga adalah satu contoh yang berupaya melahirkan pelumba handalan hari ini. Namun, seperti mana yang lain, jika anda serius dengan go-kart, ia juga tidak murah.

GRA atau Grass Racing Autocross adalah salah satu acara di negara kita untuk anda berlumba dengan kos yang murah secara halal dan sah.

Sebagai permulaan, anda hanya memerlukan sebuah kereta yang mungkin juga kereta standard, sebuah topi keledar dan kemudian pertandingan yang sah untuk berlumba dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM150 untuk satu peringkat pusingan.

Di Malaysia, terdapat dua acara autocross tempatan yang popular iaitu R3 Time Attack Challenge (R3 TAC) yang dianjurkan oleh R3 yang kini hanya tinggal nama dan satu lagi yang masih aktif ialah GRA.

GRA dianjurkan oleh Ian Khong yang merupakan anak kepada Y.S Khong, nama besar dalam sukan motor satu ketika dahulu yang kini bergiat aktif sebagai pengendali pelbagai acara sukan motor dan laman web automotif.

Bakat Y.S Khong diturunkan kepada anak lelakinya yang juga merupakan seorang pemandu rali yang pernah berlumba dengan pasukan Ford. Beliau memandu Ford Focus juga giat menyertai pertandingan autocross di luar negara seperti di Hong Kong, Thailand dan pelbagai lokasi antarabangsa.

Dengan berbekalkan pengalaman dan semangat beliau yang ingin mempopularkan sukan ini, secara langsungnya telah memberi peluang kepada golongan bawahan untuk merasai suasana perlumbaan walaupun dalam skala kecil.

Pada tahun lalu, sebanyak lima pusingan telah berjaya dianjurkan dengan empat daripadanya diadakan di tempat letak kereta Stadium Shah Alam manakala pusingan terakhir di Putrajaya.

Formatnya adalah jelas seperti namanya, autocross di mana setiap pelumba harus melalui halangan-halangan seperti selekoh atau jalan yang lurus diikuti dengan selekoh 'U' ataupun membuat pusingan mengikut arah atau lawan jam.




Satu-satu selekoh mungkin mempunyai lengkokan tajam 90 darjah ataupun kon dengan pusingan 360 darjah. Seterusnya, pemenang dipilih berdasarkan catatan masa terpantas dalam tiga pusingan perlumbaan dan satu atau dua pusingan percubaan.

Namun demikian, ramai yang beranggapan bahawa sukan autocross ini boleh dikuasai dengan mudah, tetapi untuk pengetahuan anda, sepanjang GRA berlangsung terdapat beberapa insiden berlaku seperti sebuah Honda Civic terbabas dan terperosok bersama pemandunya ke dalam longkang.

Selain daripada itu, sebuah Vios pernah terbabas dan telah menghentam pembahagi jalan di laluan yang lurus. Pertandingan ini bukan sahaja disertai oleh golongan amatur bahkan turut disertai pemandu handalan yang lain seperti Ian Khong sendiri dan pasukan diwakili bengkel kereta sekitar Lembah Klang.

Dengan matlamat menjurus kepada perlumbaan golongan marhain, GRA mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Dengan itu, beberapa penyesuaian telah dilakukan seperti mengadakan kelas novis untuk pelumba amatur dan kategori pro bagi pelumba yang telah menyertai pertandingan GRA yang lebih berpengalaman.

Perubahan tersebut telah berjaya menarik muka-muka baru untuk bertanding dan untuk rekod secara puratanya sebanyak 40 peserta akan bertanding dalam satu-satu pusingan.

Model kereta yang terlibat pula terdiri daripada sekecil kereta seperti Perodua Kancil ataupun semahal Lotus Elise ataupun kereta feminin seperti Hyundai Getz atau kereta eksekutif seperti Honda Accord di samping kereta-kereta hebat lain seperti Lancer Evo, Impreza dan juga Silvia.

Namun demikian, faktor kuasa semata-mata belum tentu menjamin kemenangan kerana pertandingan jenis ini memerlukan kemahiran pengawalan kenderaan yang tinggi bagi mengambil selekoh dengan betul, penggunaan brek dan brek tangan, kawalan stereng dan pecutan bagi mencatat masa yang pantas.


DENGAN pelbagai kemahiran pemanduan menguasai trek GRA bukanlah mudah.


Gabungan seni memandu ini menjadikan perlumbaan sebegini meningkatkan faktor keseronokan khasnya buat mereka yang pertama kali mencuba.

Untuk musim 2008 pula khabarnya GRA akan melebarkan sayapnya ke negeri-negeri lain. Jika anda ingin mencuba sesuatu yang baru dalam sukan motor, ini adalah salah satu pentas yang baik untuk bermula. Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi laman web rasmiwww.grassracingautosports.com.

 

The Skills Technologist

Laman The Skills Technologist ini dibangunkan bagi berkongsi maklumat mengenai segala teknologi dari kejuruteraan hinggalah ke teknologi pengurusan kewangan. Ini sedikit sebanyak membantu anda dalam mencari sumber rujukan untuk pelbagai tugasan, pengurusan kewangan, teknologi kejuruteraan dan banyak lagi. Sebagai seorang pelajar Teknologi Kejuruteraan Penerbangan dan berkecimpung dalam bidang Kemahiran Malaysia Tahap 4, saya menulis da laman ini sekadar berkongsi idea. Semoga ianya dapat membantu. Harap Maklum. .