Technologist
Di Laman Ini Laman Lain

Teknologi Formula 1

Perlumbaan teknologi F1

Satu lagi inovasi F1... paparan digital cermin (HUD) pada topi keledar pemandu kereta lumba F1 membolehkan pemandu melihat data prestasi kereta tanpa perlu mengalihkan konsentrasi dari laluan di litar lumba.



PERLUMBAAN Formula One (F1) semakin menarik musim ini dengan beberapa syarikat dan pemandu sedang menghadapi ujian getir ke arah menempatkan diri mereka sebagai pendahulu sama ada untuk kategori pelumba atau pengeluar.

Pemandu-pemandu F1 seperti Michael Schumacher dari Ferrari, Juan Pablo Montoya dari BMW-Williams dan Kimi Raikkonen dari McLaren-Mercedes kini berebut tempat pertama dalam perlumbaan Grand Prix F1 musim ini, termasuk dicabar oleh pelumba muda, Fernando Alonso dari Renault.

Perlumbaan F1 sememangnya bukan sahaja melibatkan pertarungan antara pemandu paling handal tetapi juga perlumbaan teknologi antara syarikat-syarikat pengeluar kereta dalam memastikan kenderaan mereka beroperasi semaksimum mungkin untuk memenangi perlumbaan.

F1 telah berkembang daripada sukan yang hanya memerlukan kecekapan dan kemahiran memandu kepada sukan yang lebih bergantung kepada teknologi tinggi. Pasukan yang tidak mempunyai peruntukan mencukupi dalam mendapatkan teknologi terkini, kebiasaannya akan menghadapi masalah untuk bersaing.

Teknologi F1 sebenarnya digunakan juga dalam teknologi harian seperti teknologi automotif terkini, komunikasi wayarles, keselamatan, pengkomputeran dan sebagainya.

Dalam perlumbaan masa kini, keupayaan sesebuah pasukan untuk menyesuaikan reka bentuk kereta dan mempertingkatkan kecekapan aerodinamik ketika perlumbaan misalnya merupakan satu kelebihan untuk kereta memintas di hadapan. Justeru, teknologi komputer canggih seperti reka bentuk berbantu komputer (CAD) dan pengeluaran berbantu komputer (CAM) diperlukan untuk membolehkan jurutera merancang reka bentuk terbaik dalam menghadapi setiap litar. Selain teknologi mereka bentuk kereta tersebut, teknologi telemetri ataupun sistem telemetri dua hala misalnya telah digunakan untuk membolehkan prestasi kereta sentiasa dipantau oleh kumpulan teknikal yang bertugas di pit.

Sistem ini akan menyalurkan maklumat setiap masa mengenai keadaan komponen utama kereta seperti keadaan enjin, pergerakan casis, tayar, minyak dan sebagainya menggunakan teknologi wayarles.

Maklumat-maklumat ini dikumpulkan oleh sensor-sensor yang diletakkan pada setiap komponen utama kenderaan dan data yang dihantar akan diproses oleh pusat pelayan komputer dan dipaparkan dalam bentuk grafik bagi memudahkan jurutera membuat analisis.

Kadangkala sesebuah pasukan F1 mempunyai sehingga 50 jurutera dan juruteknik yang bertugas bagi memantau dua buah kereta lumba mereka yang sedang berlumba yang masing-masing mempunyai tugas mengikut kepakaran mereka. Malaysia juga mempunyai anak-anak tempatan yang telah berpeluang menjadi sebahagian daripada kumpulan teknikal pasukan Sauber Petronas yang mempunyai tanggungjawab dalam beberapa bahagian kenderaan seperti sistem elektronik, suspensi, reka bentuk komposit dan sebagainya.

Prestasi

Pasukan teknikal di pit melakukan penganalisaan data yang disampaikan oleh sensor kepada sistem komputer memperbaiki prestasi kenderaan ketika perlumbaan dan juga dikumpulkan bagi setiap perlumbaan untuk digunakan bagi kegunaan perlumbaan musim depan.

Jika perubahan spesifikasi ingin dilakukan, pusat teknikal di pit akan memaklumkan kepada pemandu perkara tersebut dengan menghantar isyarat yang akan dipancarkan melalui lampu-lampu tertentu di bahagian stereng kereta F1.

Jika pemandu bersetuju, ia hanya perlu menekan butang yang telah ditetapkan bagi membolehkan pasukan teknikal membuat perubahan terhadap spesifikasi kereta mereka tanpa perlu memberhentikan kenderaan tersebut. Bagaimanapun, jika perubahan besar perlu dilakukan, ia boleh dilakukan ketika pemandu memberhentikan kenderaan mereka di pit bagi mengisi minyak.

Menyentuh mengenai teknologi aerodinamik, kebiasaannya apa yang dilakukan ketika proses mereka bentuk dan diuji dalam pelbagai cara termasuk menggunakan komputer simulasi, memasuki terowong angin dan ujian di litar.

Salah satu alat yang terpenting dalam mengukur prestasi aerodinamik kereta ialah Computational Fluid Dynamics (CFD). CFD merupakan teknologi berasaskan komputer yang mengkaji kedinamikan CFD mengikut ke semua arah angin terhadap badan kereta. Dalam perlumbaan F1, CFD melibatkan pembinaan model simulasi komputer kereta lumba yang kemudiannya dilaksanakan berdasarkan hukum fizik kepada prototaip maya tersebut. Komputer akan mengesan kesan pelanggaran angin sama ada tolakan ke bawah atau atas bagi setiap trek yang digunakan dan para mekanik boleh membuat penyesuaian mengikut trek-trek yang disertai. Secara umumnya, pasukan F1 akan menggunakan teknologi pengkomputeran sebagai langkah pertama dalam proses mereka bentuk kereta dan menjalani ujian. Mereka kemudiannya akan membina kereta tersebut mengikut model yang dibina melalui komputer dan apabila ia telah siap diuji, hari perlumbaan akan menjadi penentu kerja-kerja yang telah mereka lakukan.

Sebenarnya terlalu banyak teknologi yang terlibat dalam perlumbaan F1 bermula dari peringkat asas seperti `Air Jack' iaitu alat untuk mengangkat kereta untuk mempercepatkan proses menukar tayar sehingga kepada proses ujian pelanggaran, unit kawalan elektronik, kotak gear, cat, keselamatan, pemanasan enjin, terowong angin, reka bentuk dan sebagainya.

Syarikat-syarikat peserta perlumbaan F1 akan sentiasa memastikan teknologi kenderaan mereka diperbaharui dan berupaya berada di barisan grid hadapan setiap kali perlumbaan bermula dan juga yang pertama sekali menamatkan perlumbaan.

 

The Skills Technologist

Laman The Skills Technologist ini dibangunkan bagi berkongsi maklumat mengenai segala teknologi dari kejuruteraan hinggalah ke teknologi pengurusan kewangan. Ini sedikit sebanyak membantu anda dalam mencari sumber rujukan untuk pelbagai tugasan, pengurusan kewangan, teknologi kejuruteraan dan banyak lagi. Sebagai seorang pelajar Teknologi Kejuruteraan Penerbangan dan berkecimpung dalam bidang Kemahiran Malaysia Tahap 4, saya menulis da laman ini sekadar berkongsi idea. Semoga ianya dapat membantu. Harap Maklum. .