Dari Pengarang
Semasa saya berada di semester 5 (2011) ketika menuntut di UiTM Pulau Pinang dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, saya hilang tumpuan dan fokus terhadap apa yang dipelajari selama lebih 2 tahun. Segala yang dipelajari adalah berbentuk teori dan pengiraan semata-mata dan ini membuatkan saya hilang minat dalam bidang kejuruteraan. Memburukkan lagi apabila saya gagal dalam beberapa subjek teras kejuruteraan seperti Thermodynamics dan Calculus II. Di penghujung pengajian di universiti, saya menyedari yang saya bukan jenis orang yang sesuai menjadi seorang jurutera mahupun siswazah, tetapi sesuai menjadi pekerja yang berkemahiran. Ketika rakan-rakan sibuk pergi ke kuliah, saya pula sibuk memikirkan alternatif untuk bekerja.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, untuk menjadi seorang jurutera mahupun siswazah bukannya mudah. Ada pelajar yang mempelajari ilmu kejuruteraan tetapi gagal mempraktikkannya. Mereka hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan. Boleh diumpamakan seperti pohon subur yang rendang tetapi tidak berbuah. Minat dalam penulisan artikel dan kerja-kerja kemahiran adalah adalah hobi dan sesuatu yang susah untuk dipisahkan dengan diri saya. Akhirnya saya sendiri membuat keputusan untuk tidak meneruskan pengajian di universiti dan pulang dengan kekecewaan.
